Salah satu cara untuk mendapatkan perspektif tentang penjagaan demensia adalah dengan mendengar secara langsung daripada mereka yang berada di barisan hadapan. Kami bersyukur dapat mendengar daripada Althea, seorang jururawat penjagaan geriatrik muda, yang sangat berdedikasi dalam penjagaan pesakit yang hidup dengan demensia. Althea menawarkan pandangan intim tentang perjalanannya, di mana empati dan belas kasihan memainkan peranan penting dalam tanggungjawab hariannya.
Hari-hari Awal Kejururawatan
Perjalanan Althea ke dalam bidang kejururawatan bermula pada usia muda. Syif pertamanya di wad penjagaan geriatrik memperkenalkan beliau kepada selok-belok bekerja dengan orang yang hidup dengan demensia. Pada mulanya, beliau bergantung pada pengetahuan buku teks dan pendekatan teori dalam kejururawatan tetapi tidak lama kemudian menyedari bahawa menjaga orang yang hidup dengan demensia memerlukan lebih daripada hanya mengikut peraturan, ia menuntut rasa belas kasihan, pemahaman, dan dedikasi yang mendalam.
"Ada kalanya pesakit saya akan berasa keliru dan tidak mengenali saya atau lupa akan persekitaran mereka sama sekali... Sebagai jururawat, anda sepatutnya menguruskan penjagaan mereka dan masih menunjukkan empati, walaupun anda keletihan secara fizikal."
Pada waktu itu, Althea belum bersedia untuk menghadapi situasi seperti itu. Orang yang hidup dengan demensia akan bertanya tentang ahli keluarga yang tidak hadir dan tidak dapat mengingati nama mereka atau di mana mereka berada. Ia adalah cabaran harian untuk menangani kekeliruan, kekecewaan, dan juga kemarahan emosi demensia. Tekanan emosi yang berterusan ini akhirnya membawa kepada rasa keletihan emosi yang kadangkala membuatnya mudah berasa cemas atau marah. Namun, Althea terus berusaha sambil mengingati setiap orang mempunyai cerita yang unik.
Mencari tujuan menjadi kunci untuk meningkatkan kekuatan di waktu-waktu yang melelahkan. Beliau sering mengimbau kenangan perbualan dengan mereka yang berada di bawah jagaannya untuk memberinya semangat apabila terlalu keletihan.
Lama-kelamaan, beliau memahami kerumitan demensia, baik sebagai jururawat mahupun sebagai manusia. Beliau melihat mereka yang dijaganya bukan hanya sebagai individu dengan keadaan perubatan, tetapi sebagai orang yang kaya dengan sejarah dan keperluan emosi. Perubahan tanggapan ini menjadikannya lebih penyabar dan berbelas kasihan dalam penjagaannya. Beliau mendapati bahawa sifat belas kasihannya memberi kesan yang mendalam kepada mereka, menjadikan pekerjaannya lebih bermakna.
Mengimbangi Belas Kasihan dan Keletihan
Dalam menjalankan tugasnya, Althea kadang kala bergelut untuk mengimbangi komitmen profesionalnya dan kesejahteraan emosinya. Beliau mengimbau walau bagaimana bersedianya beliau untuk tuntutan kerja kejururawatan, beliau sering keletihan selepas setiap syif. Lesu upaya mula muncul apabila kekecewaan dan keletihan mula melanda, terutamanya dalam menguruskan orang dengan keperluan yang berbeza sekaligus.
Beban emosi semakin meningkat apabila beliau terpaksa bekerja keras. Althea teringat mengendalikan sebanyak 7 hingga 10 kes seminggu, memberikan penjagaan secara individu kepada mereka yang berada di bawah jagaannya. Kadang kala beliau dapati yang dirinya terenggang apabila menjalankan tugas. Tekanan menguruskan begitu banyak kes sambil menawarkan sokongan emosi membuatkan kerja itu terasa membebankan.
"Mengekalkan sikap positif akan memberikan anda cara yang inovatif untuk mengatasi cabaran"
Althea juga menyedari bahawa ramai pesakitnya berada dalam keadaan emosi yang sama-sama sukar, yang meningkatkan rasa empati dalam dirinya. Beliau mendapati bahawa semakin banyak beliau berinteraksi dengan mereka yang di bawah jagaannya, semakin jelas pemahaman beliau tentang corak tingkah laku dan pemikiran mereka. Dia juga mendapati penjagaan mereka lebih mudah selepas terjalinnya ikatan. Tetapi walaupun beliau sangat mengambil berat tentang mereka, beliau tahu kesihatan mental dan emosinya sendiri tidak boleh diabaikan. Mengimbangi belas kasihan terhadap pesakitnya dengan penjagaan diri adalah penting untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam jurang keletihan.
Mencari Kekuatan dalam Penjagaan Diri dan Kebaikan
Semasa menjalankan tugas di wad, Althea mencari cara untuk mengatasi keadaan. Baliau kemudian mendapati bahawa mengutamakan diri sendiri adalah penting. Salah satu kaedahnya ialah memisahkan kerja dan kehidupan peribadi. Ini menjadi penting untuk mengelakkan keletihan.
"Adalah penting untuk memisahkan keduanya supaya kita menjadi yang terbaik untuk diri sendiri dan mereka yang berada di bawah jagaan anda."
Beliau mula mengambil langkah-langkah kecil, seperti menetapkan berapa lama beliau akan berada di tempat kerja. Beliau juga akan cuba sedaya upaya untuk meninggalkan sebarang tekanan emosi setelah selesai bekerja.
Mengambil masa untuk hobi sendiri dan berehat membolehkan Althea mengembalikan semangatnya. Saat-saat ini bukan hanya tentang rehat secara fizikal tetapi juga tentang memupuk kesejahteraan emosinya. Dia juga akan bermain permainan zaman dahulu, seperti batu seremban atau kutip kayu dengan keluarganya, yang dipelajarinya semasa berada di wad geriatrik. Beliau mendapati kepuasannya bukan sahaja dengan hobi sendiri tetapi juga dengan kasih sayang daripada mereka yang berada di bawah jagaannya. Ritual-ritual kecil tetapi bermakna ini membantunya mengembalikan keseimbangan.
Cerita: Puan Lee - Saat Perhubungan
Salah satu detik paling tidak dapat dilupakan Althea ialah masanya bersama pesakit Puan Lee, seorang wanita yang berada di peringkat pertengahan Penyakit Alzheimer. Puan Lee sering terkelirukan Althea dengan orang lain, seperti cucunya atau jururawat yang lain. Pada suatu pagi, Puan Lee sangat cemas, menanyakan kakaknya yang sudah lama meninggal, yang disangkanya ada di situ untuk menbawanya ke sekolah. Disebabkan Althea tahu bahawa Puan Lee akan berasa lebih cemas jika beliau cuba membetulkannya, beliau memutuskan untuk mengalihkan Puan Lee di sampingnya di kaunter jururawat untuk menunggu. Althea meyakinkannya dengan lembut, memberitahunya bahawa beliau akan berada bersamanya sehingga kakaknya tiba.
Puan Lee beransur-ansur tenang dan tidak lama kemudian membenarkan Althea membantunya dengan sarapan dan ubat-ubatannya. Puan Lee mencapai dan memegang tangannya. Walaupun dia tidak berkata, banyak yang terungkap daripada senyuman ikhlas dan tenang yang terukir di wajahnya. Pada saat itu, Althea tahu bahawa Puan Lee berasa selesa dengan kehadirannya, dan mengetahui bahawa kakaknya tidak akan datang untuk menemuinya.
“Itu adalah detik kecil, tetapi pada saat itu, saya sedar bahawa kadangkala, apa yang diperlukan oleh semua orang hanyalah kehadiran dan kesabaran. Bukan memperbaiki, bukan memperbetulkan, hanya kehadiran.”
Saat ini memberikan Althea dorongan tambahan dalam menemui semula makna di sebalik kerjanya.
Jururawat yang Membuat Perbezaan
Melalui semua itu, semangat Althea dalam bidang kejururawatan kekal tidak berbelah bahagi. Nasihatnya kepada penjaga lain adalah mudah tetapi mendalam: amalkan kesabaran dan empati, walaupun pada hari-hari yang sukar.
Althea menggesa para penjaga untuk mengingati bahawa belas kasihan dan pemahaman adalah penting dalam penjagaan, terutamanya bagi mereka yang hidup dengan demensia. Pengalamannya memberikan gambaran tentang cabaran peribadi dan ketahanan emosi yang diperlukan dalam penjagaan demensia. Perjalanannya mengingatkan kita tentang kepentingan empati dan penjagaan diri untuk penjaga.