Bantu kami memperbaiki
X

Velda mengimbas kembali perjalanannya dengan diagnosis neneknya, yang menghidap demensia – dan bagaimana ia membentuk semula pemahaman beliau tentang penuaan, ingatan, dan kasih sayang.  Berikut kisah beliau. 

Aroma sup organ babi tidak pernah gagal membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak, apabila nenek saya, atau ‘ah ma’ akan membuatnya setiap kali kami berkunjung.  Saya masih boleh bayangkan duduk di meja makan, dikelilingi sepupu, pakcik dan makcik sambil saya menghirup sup, lepas satu mangkuk satu lagi dengan bunyi tawa memenuhi flat 4 bilik tersebut.   Rasa masakan nenek adalah pengikat keluarga kami; rasa yang membawa maksud keselesaan, kehangatan, dan rasa sayang. 

Selepas diagnosis nenek saya pada tahun 2014, pandangan saya tentang keluarga, penuaan, dan rasa sayang dicabar secara yang tidak pernah saya jangkakan.  Wanita yang pernah menjadi tunggak kekuatan dalam keluarga kami menjadi lemah dan bergantung.  Dalam sekelip mata, perkara yang biasa menjadi tidak menentu, dan saya mendapati diri saya bergelut untuk memahami betapa cepatnya kehidupan boleh berubah. 

Sebelum didiagnosis, ah ma (‘nenek’ dalam dialek Cina) ceria dan bertenaga.   Dia selalu dilihat meluangkan masa bersama rakan-rakannya dan bersenam setiap pagi.  Dia adalah simbol kasih sayang dan kegembiraan bagi keluarga kami.  Dulu sebelum diagnosisnya, saya sering mengunjunginya, seronok dengan perbualan kecil kita tentang sekolah dan makanan, saat-saat yang terasa asyik. 

Apabila dia meniti usia, keluarga kami mula membawanya bersama untuk pergi bercuti.  Semasa dalam perjalanan ke kawasan luar bandar China pada tahun 2010-an, dia tergelincir dan jatuh.  Walaupun tidak cedera parah, kami perasan sesuatu berubah selepas pulang ke rumah; dia mula lupa-lupa — di mana dia berada, di mana wangnya, dan perkara-perkara kecil yang lain.  Prihatin, kami membawanya berjumpa doktor, dan pada masa itulah istilah demensia menjadi sebahagian daripada kosa kata keluarga kami. 

Sambil tahun berlalu, ingatannya perlahan-lahan pudar.  Saya dan sepupu-sepupu saya semakin sibuk dengan sekolah dan kerja, dan tidak lama kemudian, saya satu-satunya yang masih mengunjunginya secara kerap.  Kunjungan kerap saya ini ternyata suatu rezeki kerana apabila keadaannya semakin teruk, dia masih dapat mengingati saya.  Ia menjadi rutin untuk kita duduk bersama dan bersembang, walaupun ia perbualan yang sama setiap kali.  

[Imej: Velda dan neneknya semasa Tahun Baru Cina]

Kita akan masak bersama-sama, dan dia masih ingat resipi sambil mengarahkan saya bahan-bahan yang perlu ditambah, dan bagaimana untuk membuat hidangan kegemaran keluarga.  Saya belajar bahawa perkara-perkara kecil seperti ini perlu untuk meneruskan hubungan meskipun dalam keadaannya yang beransur lemah.  

Bagi saya, dia tetap ah ma saya yang dulu.  Sering kali, saat-saat ini akan membuat kami tersenyum walaupun ia kelihatan membosankan pada orang yang melihat.  Ia mengajar saya bahawa kasih sayang tidak memerlukan sesuatu yang baru untuk terus mekar.  Kadangkala ia hanya memerlukan kehadiran kita, berulang kali, walaupun tiada apa yang berubah. 

Hari Ini, Kasih Sayang Kelihatan Seperti Ini

Ibu saya yang merupakan salah seorang penjaga utama ah ma, menjadi tulang belakang keluarga kami pada masa ini.  Kekuatannya membuat saya kagum. Saya perhatikan apa yang paling membuatnya terus kuat adalah sokongan yang dia terima daripada rakan-rakan, keluarga, dan profesional perubatan.  Ibu saya sering mengambil inisiatif dan berusaha memastikan nenek saya mendapat penjagaan yang mencukupi – menghantarnya ke janji temu perubatan, aktiviti penjagaan hariannya yang biasa.  Nenek saya beruntung mempunyai anak yang ramai, setiap seorang menyumbang dengan cara mereka sendiri, sama ada menemaninya ke pemeriksaan, menyediakan makanan, atau melawatnya secara kerap.  

Ibu saya sering meminta nasihat doktor dan jururawat untuk lebih memahami penjagaan yang nenek saya perlukan, tetapi galakan emosi daripada orang di sekelilingnyalah yang membantunya kekal teguh. 

Melihatnya mengimbangi belas kasih dengan keletihan menunjukkan kepada saya bagaimana penjagaan bukan sahaja merupakan tanda kasih sayang tetapi juga ketahanan dan kerendahan hati.  Dia mengajar saya bahawa meminta bantuan bukan tanda kita lemah, tetapi satu keberanian yang membolehkan kita menjaga orang lain dan diri kita sendiri dengan lebih baik. 

Melalui diagnosis ah ma saya, saya belajar bahawa kasih sayang berubah.  Ia tidak lagi boleh bergantung hanya pada kenangan atau perbualan bersama, tetapi sebaliknya harus diluahkan dalam kesabaran, kelembutan, dan kehadiran.  Diagnosisnya mengubah pandangan saya tentang apa ertinya menyayangi seseorang – menyayangi bukan siapa mereka yang dahulu, tetapi siapa mereka hari ini, momen demi momen. 

Melalui pengalaman ini, saya mula menghargai cara baru menunjukkan rasa syukur: yang tumbuh melalui penjagaan, dan mengingatkan saya tentang bimbingan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi yang telah saya saksikan.  

“Demensia bukan sahaja mengubah minda seseorang, tetapi segala yang lain juga – tubuh mereka, dan ikatan kekeluargaan mereka, mendorong orang tersayang untuk bangkit menghadapi keadaan, walaupun anda tidak pernah bersedia sepenuhnya."

Bagi saya, demensia adalah satu peperangan psikologi kerana ia lebih daripada sekadar menerima perubahan yang sedang dihadapi, tetapi ia juga adalah tentang menjangkakan setiap keperluan mereka dan melihat ke masa hadapan.  Walaupun kesihatan ah ma saya semakin merosot, saya sentiasa bersyukur dengan momen-momen yang saya luangkan bersamanya.  Ia mengingatkan saya bahawa kehidupan berubah, kenangan pudar, dan masa terus berlalu.  Apa yang saya tahu adalah kasih sayang yang suatu masa dahulu dicurahkan ke dalam semangkuk sup masih terus membahagiakan saya, walaupun bertahun-tahun kemudian. 

TENTANG PENULIS

Velda Koh

Velda ialah seorang eksekutif pemasaran yang gemar meniupkan nafas kepasa idea, cerita dan dasar.  Pada masa lapangnya, beliau gemar bermain alat muzik, melancong dan mencari kafe yang menarik. 

Kategori
Skip to content