Melantik timbalan (atau Deputy) adalah penting bagi orang yang hidup dengan demensia. Timbalan membantu dalam membuat keputusan bagi pihak klien mereka. Artikel ini berkongsi maklumat dan sumber untuk memahami proses pelantikan timbalan.
Apakah itu Timbalan?
Timbalan dilantik oleh Mahkamah untuk membuat keputusan bagi pihak seseorang yang hilang keupayaan mental apabila orang tersebut tidak membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan tidak mempunyai penerima kuasa (atau donee) untuk membuat keputusan bagi pihaknya berkenaan dengan keputusan tersebut.
Individu atau syarikat amanah berlesen di bawah Akta Syarikat Amanah atau Trust Companies Act (Cap. 336), seperti yang ditetapkan dalam Akta Keupayaan Mental (Mental Capacity Act), boleh dilantik sebagai timbalan.
Timbalan mesti menyerahkan laporan tahunan kepada Pejabat Penjaga Awam (OPG) untuk menjelaskan keputusan dan perbelanjaan yang mereka buat bagi pihak orang tersebut.
Laman web berikut mempunyai maklumat lanjut tentang cara memohon untuk menjadi timbalan:
Berikut adalah dua senario yang membezakan antara pelantikan penerima kuasa dan pelantikan timbalan:
Senario A: Penerima Kuasa
Puan Tan baru-baru ini didiagnosis dengan demensia. Beliau mengetahui bahawa apabila keadaannya merosot, beliau mungkin akhirnya kehilangan keupayaan mental, dan tidak dapat membuat keputusan penting, seperti membeli hartanah, atau memindahkan pemilikan aset peribadinya. Beliau mahu melantik seseorang yang beliau percayai untuk menguruskan urusannya apabila beliau tidak lagi mempunyai keupayaan mental. Berdasarkan penilaian pakar geriatrik, beliau telah dinilai mempunyai keupayaan mental untuk membuat LPA. Beliau memilih untuk melantik anak lelakinya dan kakaknya sebagai penerima kuasa (orang yang akan mengendalikan urusan bagi pihaknya apabila beliau hilang keupayaan mental) untuk LPA beliau.
Senario B: Timbalan
Encik Lee didiagnosis dengan demensia dua tahun lalu. Satu-satunya anak perempuannya, yang telah tinggal di luar negara dan baru-baru ini kembali ke Singapura, ingin memastikan urusan bapanya dikendalikan dengan baik. Beliau mendapat tahu bahawa bapanya belum membuat LPA. Doktor tetapnya menilai bahawa Encik Lee kini hidup dengan demensia peringkat sederhana hingga lanjut, dan beliau tidak lagi mempunyai keupayaan mental untuk membuat LPA. Anak perempuan Encik Lee membincangkan pilihan-pilihan bapanya dengan pekerja sosial dan mengetahui bahawa beliau boleh memohon kepada mahkamah untuk menjadi timbalan bapanya. Setelah permohonan dibuat, Mahkamah akan memutuskan sama ada anak perempuan Encik Lee boleh menjadi timbalan dan mungkin melantiknya sebagai timbalan Encik Lee.
Timbalan Profesional
Timbalan dan Penerima Kuasa Profesional atau PDD (Professional Deputies and Donees) bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada individu yang mungkin tidak mempunyai ahli keluarga atau rakan rapat yang boleh diharapkan untuk menjadi wakil pembuat keputusan mereka. Skim ini berkuat kuasa pada September 2018.
Dalam kes di mana seseorang telah hilang keupayaan mentalnya, tidak melantik penerima kuasa, dan tiada orang lain (seperti saudara-mara terdekat) yang memohon untuk melantik timbalan bagi individu ini, Mahkamah Keadilan Keluarga boleh melantik timbalan profesional untuk individu tersebut.
Timbalan dan penerima kuasa profesional:
- dibayar untuk perkhidmatan mereka;
- tidak mempunyai hubunhgan kekeluargaan dengan orang yang mereka dilantik untuk mewakili;
- mesti menyerahkan laporan tahunan kepada Pejabat Penjaga Awam untuk menjelaskan keputusan dan perbelanjaan yang telah mereka buat bagi pihak orang tersebut; dan
- mesti seorang profesional yang layak daripada kumpulan profesional yang ditetapkan oleh Akta Keupayaan Mental (peguam, doktor, akauntan, profesional kesihatan bersekutu, jururawat, atau pekerja sosial).
Untuk maklumat lanjut mengenai skim Timbalan dan Penerima Kuasa profesional, sila layari halaman ini oleh Pejabat Penjaga Awam. Senarai timbalan dan penerima kuasa profesional yang berdaftar boleh didapati di sini.
Sumber Tambahan
Legasi Saya
Ini adalah laman web pemerintah Singapura yang mengandungi maklumat tentang perancangan akhir hayat. Ketahui lebih lanjut tentang cara membuat LPA. Laman ini juga tersedia dalam bahasa Inggeris, Mandarin (中文), Melayu, dan Tamil (தமிழ்).
Tanya Pakar – Merancang Lebih Awal: Kewangan & Undang-undang
Video oleh AIC ini menjawab beberapa kebimbangan tentang kewangan dan undang-undang seperti cara menangani aset yang dibekukan dan cara LPA berfungsi.
Sumber: Agensi Penjagaan Bersepadu
Webinar mengenai Tugas Timbalan
Webinar 50 minit ini adalah panduan mengenai tugas timbalan. Webinar ini merangkumi maklumat tentang peranan dan tanggungjawab timbalan terhadap orang yang mereka wakili, bagaimana mereka harus memahami dan mematuhi perintah mahkamah mereka, dan cara mengisi borang laporan timbalan.
Sumber: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga